Ulasan Filem: Toy Story 3
Labels: MovieAssalamualaikum dan Salam Sejahtera :)
Pada tahun 1995, Toy Story telah mencatatkan sejarah sebagai filem animasi pertama yang menggunakan CGI di dunia. Pada tahun 1999 pula, Toy Story 2 pula diperlihatkan. Kejayaan besar yang dibawa oleh Disney dan Pixar ini telah berjaya menarik perhatian umum dengan filem animasi tersebut. Rentetan dari kejayaan itu, 2010 telah membawa kembali zaman kegemilangan Toy Story yang sudah sekian lama menyepi hampir lebih 10 tahun. Toy Story 3 telah membuka hati para peminat siri Toy Story yang terkenal dengan cerita alat permainan bergerak. Oleh kerana dunia kini dilingkari dengan teknologi yang kian pesat hari demi hari, Toy Story 3 digarapkan sekali dengan versi 3D untuk pengalaman filem yang unik dan menarik. Teruskan pembacaan dengan mengklik 'Read More'!
Semalam, Arib sempat meluangkan masa untuk menonton filem Toy Story 3 ini di GSC Cinemas, Pavilion KL bersama-sama dengan adik Arib, Adib Ismail. Seperti kebiasaannya, Arib akan memilih versi 3D untuk filem bergenre animasi ini. Pada mulanya, Arib bercadang untuk menonton filem ini di Suria KLCC. Tetapi apakan daya, masa tayangan di TGV Cinemas Suria KLCC hanya untuk pukul 1.45 pm, 6.45 pm dan 11.55 pm. Kalau pergi awal, boleh Arib tengok tayangan untuk pukul 1.45 pm. Tapi, keluar rumah pun dah pukul 3 pm, jadi Arib memilih GSC Cinemas di Pavilion KL kerana ada pilihan tayangan untuk pukul 4 pm. Untuk pembelian tiket, keadaan di kaunter tiket GSC Cinemas Pavilion KL tidaklah begitu sesak sebagaimana keadaan di GSC Cinemas Mid Valley Megamall. Dalam masa tidak kurang 10 minit beratur, akhirnya Arib dapat juga membeli 2 tiket Toy Story 3 3D yang berharga RM19 setiap satu.

Pengarah: Lee Unkrich
Rating Filem: U
Tarikh Tayangan: 17 Jun 2010 (Malaysia)
Toy Story 3 menceritakan tentang sekumpulan alat permainan yang menghadapi masalah apabila tuan empunya alat permainan tersebut, Andy tidak lagi bermain dengan alat permaianan ini atas sebab faktor umur yang sudah remaja. Banyak cara yang cuba diusahakan untuk memujuk Andy agar Andy dapat memainkan mereka kembali tetapi tidak berhasil. Masalah mereka terus memuncak apabila Andy sudah mula melangkah ke kolej. Segala barangan dan alatan di dalam bilik Andy dikemaskan dan barangan penting sahaja dibawa ke kolej manakala yang selebihnya seperti alat permainan perlu dibuang. Tanpa rasa berasa bersalah, Andy memasukkan kesemua alat permainan tersebut ke dalam plastik sampah kecuali sebuah alat permainan kesanyangan iaitu Woody yang ingin dibawa ke kolej.
Semasa Andy menaiki tangga untuk ke stor, Andy yang diajak oleh adiknya untuk membantunya dan meninggalkan bungkusan beg plastik berisi alat permainan tersebut di bawah. Tiba-tiba, ibunya terlanggar beg plastik itu dan terus membuangnya di tong sampah. Dengan kebijaksaan yang alat-alat permainan ini miliki, mereka mengoyakkan beg plastik itu dan terus melarikan diri ke sebuah kotak yang perlu dihantar ke sebuah tempat penjagaan kanak-kanak yang bernama Sunnyside.
Setibanya di Sunnyside, mereka terus menyukai tempat itu kerana mereka akan dimainkan setiap hari oleh kanak-kanak di situ. Mereka disambut oleh sebuah anak patung, Lots-O'-Huggin' Bear yang merupakan 'orang kuat' di Sunnycare. Lots-O'-Huggin' Bear yang pada mulanya kelihatan baik dan peramah menerangkan semua tentang Sunnyside sehingga membuatkan alat-alat permainan Andy ini begitu teruja.
Walau bagaimanpun, Woody tidak berasa Sunnyside sebagai tempat yang aman untuk dirinya. Akhirnya Woody memutuskan untuk meninggalkan Sunnyside kerana tidak mahu meninggalkan Andy. Tindakan Woody sememangnya bijak kerana jika dia tinggal di Sunnyside, dia akan dimainkan oleh kanak-kanak hiperaktif seperti mana yang dihadapi oleh rakan-rakannya. Ada diantara mereka dicampak dan dijadikan alat untuk mewarna sehingga menyebabkan mereka sudah tidak tahan dengan gelagat kanak-kanak ini. Sifat kanak-kanak ini menyebabkan mereka mula menyedari tindakan Woody itu sebenarnya perlu diikuti.
Puncak cerita bermula apabila Buzz Lightyear menjejaki sebuah anak patung Barbie lelaki bernama Ken yang kelihatan diajak oleh dua alat permainan rasaksa ke tempat yang agak mencurigakan. Tempat yang dimaksudkan ialah di atas sebuah mesin menjual makanan ringan yang dijadikan sebagai tempat perjudian. Penjejakian Buzz Lightyear akhirnya dipatahkan oleh anak patung bayi, Big Baby. Buzz Lightyear disiasat atas kelakuannya itu sehingga dia memberitahu yang sekumpulan alat permainannya ingin meninggalkan Sunnyside atas sebab tidak tahan dengan kenakalan kanak-kanak di situ. Lots-O'-Huggin' Bear yang mulanya kelihatan baik akhirnya menunjukkan sifat sebenarnya yang jahat dengan memutuskan Buzz Lightyear dibuka badannya dan ditukar ke Demo Mode yang membolehkan Buzz Lightyear mendengar kata-kata Lots-O'-Huggin' Bear. Buzz Lightyear diarahkan agar menjaga rakan-rakannnya agar tidak meninggalkan Sunnyside.
Perkara ini mula disedari apabila Woody diberitahu oleh Chuckles the Clown yang Sunnyside ialah sebuah tempat yang dikuasi oleh anasir-anasir jahat. Setiap permainan yang ditempatkan di situ tidak boleh meninggalkan Sunnyside. Hampir semua kawasan Sunnyside diawasi oleh alat-alat permainan yang diarahkan oleh Lots-O'-Huggin' Bear. Chuckles the Clown memberitahu sifat Lots-O'-Huggin' Bear yang jahat bermula apabila dia mendapati yang tuannya sudah menukar ganti kepada Lots-O'-Huggin' Bear yang baru setelah tidak sengaja ditinggalkan oleh tuannya. Atas sebab itu, Woody mengambil langkah ke Sunnyside semula untuk membela nasib rakan-rakannya. Pelbagai usaha dan langkah-langkah diambil untuk meninggalkan Sunnyside itu. Kebijaksanaan Woody telah melincinkan lagi pergerakkan mereka dalam misi tersebut antaranya mengalih perhatian sebuah anak patung monyet yang begitu peka dengan pergerakkan keluar masuk alat permainan di Sunnyside.
Pada masa itu juga, mereka cuba untuk menukarkan kembali Buzz Lightyear ke mode yang asal tetapi suiz di belakang badan Buzz Lightyear tidak berfungsi. Sebuah alat permainan berbentuk Dinasour, Rex memasukkan jarinya ke dalam lubang kecil di belakang badan Buzz Lightyear itu untuk meng'reset'kannya. Tiba-tiba Buzz Lightyear hidup dengan menggunakan bahasa dan berpewatakan orang Sepanyol. Gelagat Buzz Lightyear dalam 'Spanish Mode' tersebut membuatkan penonton tidak henti-henti gelak ketawa dengan gelagat Buzz Lightyear yang menyukai Jessie iaitu sebuah anak patung koboi perempuan.
Ketika misi hampir berjaya, mereka terpaksa berdepan dengan Lots-O'-Huggin' Bear di lohong untuk ke tong sampah. Pada masa itu, Woody memberitahu Lots-O'-Huggin' Bear bahawa tuannya sebenarnya sayang padanya. Lots-O'-Huggin' Bear dan Big Baby kelihatan sebak apabila mengimbau kembali peristiwa bersama-sama tuan mereka. Woody mencampakkan objek berbentuk hati ke arah mereka berdua yang tertulis nama tuannya. Big Baby mula menangis dan Lots-O'-Huggin' Bear mencucuk perut Big Baby dengan tongkat. Big Baby mula marah dan akhirnya menjatuhkan Lots-O'-Huggin' Bear ke dalam tong sampah dan menutupnya. Alat-alat permainan lain terus meninggkalkan tempat itu apabila lori sampah tiba. Dalam kekalutan tersebut, salah sebuah anak patung berbentuk alien telah tersepit di penutup tong sampah. Woody terus mencapai anak patung alien itu dan tiba-tiba, Woody ditarik oleh Lots-O'-Huggin' Bear ke dalam tong sampah. Alat-alat permainan yang itu juga turut membantu Woody sehingga mereka terpaksa bersama-sama di dalam tong sampah tersebut. Tidak lama kemudian, mereka dimasukkan ke dalam lori sampah untuk di bawah ke sebuah tapak pelupusan sampah.
Di tapak pelupusan sampah, mereka terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk keluar dari tempat tersebut. Pada masa itu juga, Buzz Lightyear sudah kembali kepada mode yang asal apabila dia dihimpap oleh sebuah televisyen. Di dalam mesin perlupusan logam, mereka kelihatan berserah untuk mati bersama-sama. Nasib mereka cerah semula apabila ketiga-tiga alat permainan alien membantu mereka dengan mengangkut mereka dengan menggunakan kren. Akhirnya, mereka dapat keluar dari tapak perlupusan sampah itu dengan menaiki lori sampah untuk ke rumah Andy. Setibanya di rumah Andy, mereka membersihkan diri mereka dan terus menuju ke sebuah kotak untuk didermakan. Woody menulis nota dan melekatkan nota itu di atas kotak tersebut supaya dihantarkan ke rumah Bonnie iaitu kanak-kanak yang menemui Woody tersangkut di ranting pokok ketika Woody meninggalkan Sunnyside. Tibanya Andy di rumah Bonnie, Andy memberi semua alat permainannya kepada Bonnie kecuali Woody. Dalam masa yang sama, Bonnie mengenalpasti alat permainan itu dan mengatakan ia adalah milik kepunyaannya. Andy berasa sebak kerana Woody adalah alat permainan kesayangannya. Akhirnya Andy memberikan Woody kepada Bonnie. Pada babak ini, emosi sedih berjaya ditampilkan oleh pengarah kerana babak ini menggarapakan muzik latar belakang yang berirama sedih yang menyebabkan penonton berasa hendak mengeluarkan air mata. Kepiluan penonton diceriakan kembali pada ruangan kredit selepas cerita ini berakhir. Sunnyside kini telah diketuai oleh Ken dan Barbie yang telah membawa sinar baru kepada Sunnyside. Rakan-rakan di Sunnyside sering mengutus surat kepada alat permainan kepunyaan Andy dengan memasukkan surat tersebut di dalam beg Bonnie. Sebelum ruangan kredit melabuhkan tirainya, Jessie mengajak Buzz Lightyear untuk menari dengan gaya ala-ala Sepanyol seperti mana yang telah dilakukan oleh Buzz Lightyear ketika di dalam 'Spanish-Mode'.
Secara keseluruhannya, Lee Unkrich selaku pengarah berjaya membawakan aksi komedi, saspen, dan sedih dalam Toy Story 3. Tidak hairanlah, filem ini dilemparkan dengan komen yang cukup baik malah ada yang memujinya sebagai 'Animation Film of The Year'. Dari segi bintang, Arib mengkonklusikan dengan 9.5 daripada 10 bintang. Apa yang Arib boleh katakan, Toy Story 3 merupakan filem WAJIB tonton untuk tahun 2010. Sukar untuk diceritakan betapa seronoknya filem Toy Story 3 ini. Jadi, kena tengok sendiri ;)

Editor: Antara bahagian yang Arib suka semestinya ketika Buzz Lightyear dalam 'Spanish-Mode'. Masa itu, Buzz Lightyear tidak putus-putus untuk menambat hati Jessie, sweet sangat ;)
Tentang Penulis
Seorang yang suka dengan dunia komputer dan gadget. Berpengalaman luas dalam dunia telefon bimbit. Ikuti beliau di Twitter: @aribismail dan Facebook: Arib Ismail untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan dunia IT.
0 Comments:
Post a Comment