Movie: 2012, Bukan Kiamat Sepenuhnya.
Labels: MovieAssalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung Arib's Blog.
Sebelum filem ini ditayangkan, banyak kritikan telah dilemparkan ke atas filem ini malah ada pihak tidak mahu filem ini ditayangkan di pawagam kerana filem ini kononnya menceritakan gambaran hari kiamat sedangkan hari kiamat tidak dapat ditentukan harinya. Filem arahan Roland Emmerich, pencipta filem Independence Day & The Day After Tomorrow ini tidak menceritakan kiamat, sebaliknya menceritakan gambaran yang berlaku semasa peningkatan suhu & permanasan global secara mendadak di Bumi sehingga menyebabkan kejadian peningkatan aras laut & Tsunami raksasa berlaku pada 2012. Berdasarkan tajuk saya di atas, hari kiamat bukan hanya berlaku pada bumi sahaja sebaliknya meliputi seluruh angkasa raya termasuk planet, bintang dan hidupan cakerawala yang lain. Ini jelas kerana filem 2012 hanya tertumpu pada Bumi dan tidak menceritakan kemusnahan satu angkasa lepas.
Durasi Filem: 158 minit
Pengarah: Roland Emmerich
Rating Filem: PG-13
Tarikh Tayangan: 12 November 2009 (Malaysia)
Saya berpeluang menyaksikan filem ini di TGV Cinemas, Suria KLCC selepas satu jamuan yang saya hadiri semalam. Saya ditemani oleh 8 orang rakan sekolah saya yang lain yang juga tidak sabar-sabar untuk menonton filem arahan Roland Emmerich ini. Keadaan semasa membeli tiket agak riuh rendah. Terpapar di skrin tayangan masa filem, terlihat tiket filem 2012 hanya tinggal beberapa sahaja. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat membeli tiket filem yang saya nanti-nantikan selama ini.
Pada awal cerita, tahun 2009, seorang saintis Amerika telah melawat rakannya di India untuk melihat penemuan yang menakjubkan dan tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah tamadun manusia iaitu matahari mengeluarkan satu nyalaan suria yang besar sehingga menyebabkan suhu teras bumi meningkat dengan cepat. Tahun 2010 pula, presiden Amerika menawarkan tiket bernilai 1 bilion Euro kepada semua hartawan di seluruh dunia bagi hartawan yang mahu selamat selepas kejadian 2012 dengan menaiki kapal khas dalam persidangan G8. Tahun 2011, gambar Mona Lisa di Paris digantikan dengan gambar replika untuk memastikan gambar Mona Lisa yang asal itu selamat daripada bencana 2012. Semasa kejadian 2012 itu berlaku, hanya pembeli tiket kapal khas tersebut yang terselamat dan mereka merupakan penyambung tamadun manusia yang seterusnya. Filem ini mengigatkan kembali kisah Nabi Nuh A.S bersama bahteranya apabila satu kejadian banjir besar berlaku di seluruh muka bumi dan orang yang beriman sahaja dapat menaiki bahtera tersebut.
Pengarah banyak memberikan adegan yang menarik seperti keruntuhan White House dan Los Angeles musnah. Tidak lupa juga, pengarah juga banyak memberikan adegan komedi walaupun keadaan sedang kelam kabut seperti adegan membuka enjin kereta dalam kapal terbang peribadi milik seorang hartawan. Pemilik kereta itu terlupa yang keretanya itu perlu dibuka dengan menggunakan suara. Lantas itu, pemilik kereta tersebut menyebut "Engine, start." dengan nada bersahaja. Dengan sendirinya enjin kereta itu dihidupkan, jenama kereta terpapar di skrin radio kereta itu. Ramai penonton tergelak di panggung.
Kritikan yang boleh saya beri, secara keseluruhan agak bagus, cuma dari segi penggunaan kesan khas Computer-generated imagery (CGI) kurang memuaskan hati saya. Terutamanya adegan 'donut' yang jatuh dari bangunan, kurang realistik. Walau bagaimanapun, adegan CGI yang digunakan dalam filem ini banyak, menimbulkan banyak aksi yang menarik.
Sesiapa yang mempunyai masa yang lapang, luangkan masa anda untuk menonton filem 2012 arahan Roland Emmerich ini. Bagi ibubapa yang membawa anak-anak 13 tahun di bawah, sila awasi anak-anak anda semasa menonton filem ini kerana terdapat satu adegan seperti menunjuk isyarat lucah. Tidak hairanlah filem ini telah dinilaikan sebagai PG-13 atas adegan tersebut. Terkejut juga saya dibuatnya, tiada potongan dibuat. Dari 5 bintang, saya beri 3.5 bintang untuk filem bergenre aksi, sains fiksyen dan seram ini.
Tentang Penulis
Seorang yang suka dengan dunia komputer dan gadget. Berpengalaman luas dalam dunia telefon bimbit. Ikuti beliau di Twitter: @aribismail dan Facebook: Arib Ismail untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan dunia IT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment